;

Friday, February 13, 2009

PERINGATAN BUAT UMAT ISLAM

LARANGAN MENYAMBUT VALENTINE’S DAY

UCAPAN seperti Happy Valentine’s Day, Will You Be My Valentine serta pemberian hadiah jambangan ros merah, belon berbentuk hati yang tertera I Love You, malah sehingga sanggup bertatu adalah antara sebahagian cara yang popular setiap kali tibanya Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada setiap 14 Februari.

Umat Islam dilarang keras menyambut atau meraikan ’Hari Kekasih’ pada 14 Feb ini kerana sebab-sebab tertantu;
1- Valentine’s Day bukan perayaan yang dianjurkan dalam Islam, bahkan ia adalah tradisi dan ritual agama penganut Kristian.
2- Perayaan Valentine’s Day (Hari Kekasih) jelas merupakan acara yang jauh tersasar, bercanggah dan tiada kaitan dengan Islam.
3- Perayaan Hari Kekasih adalah simbol penghormatan kepada paderi kristian.
4- Menyambut hari kekasih bermakna meniru tingkahlaku orang kafir malah bukan sahaja satu budaya meniru bahkan tanda memberi sokongan kepada mereka.

Sejarah Hari Kekasih Perayaan Valentine’s Day atau Hari Kekasih dikaitkan dengan seorang paderi bernama Valentine @ Valentinus.. Siapakah dia St Valentine dan mengapakah beliau dikaitkan dengan perayaan Hari Kekasih di seluruh dunia ini?

Ada pelbagai versi asal-asul Hari Kekasih . Pihak gereja Katholik mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga paderi bernama Valentine @ Valentinus yang dikaitkan dengan mitos ini. Ketiga-tiga paderi ini menerima pengakhiran hidup yang sama iaitu mati dibunuh.

Versi 1

St Valentine yang dikatakan sebagai seorang paderi yang berkhidmat dengan kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius II mengeluarkan arahan melarang pemuda berkahwin dengan alasan pemuda bujang dapat memberi komitmen, taat setia dan khidmat yang lebih baik sebagai tentera Rom. St Valentine menganggap arahan Maharaja tidak adil. Lalu, secara rahsia terus mengahwinkan pasangan muda-mudi yang bercinta. Apabila kegiatan paderi ini terbongkar, Maharaja Claudius II memerintahkan beliau dihukum bunuh.

Versi 2

St Valentine dibunuh atas cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada kekejaman dan keganasan penjara kerajaan Rom. Sewaktu di penjara, dia bersahabat rapat dengan seorang gadis anak kepada pegawai penjara itu. Sebelum dibunuh, St Valentine menulis surat kepada kekasihnya itu dan menandatanganinya dengan ungkapan From Your Valentine.

Mengapakah 14 Februari dipilih sebagai merayakan perayaan hari memperingati kekasih ini?

Tanggal 14 Februari 269 Masihi adalah tarikh St Valentine dijatuhi hukuman mati. Lalu, untuk mengingati dan menghormati dirinya yang dianggap sebagai wira cinta, tokoh yang dikaitkan dengan sifat kasih sayang serta sanggup berkorban demi persahabatan, Pope Gelasius, pada 496 Masihi mengisytiharkan 14 Februari sebagai ‘St Valentine’s Day’. Sejarah St Valentine telah lama berlalu walaupun masih terus diselubungi misteri. Namun, sesuatu yang pasti, sambutan Hari Kekasih ini berkait rapat dengan tradisi penganut agama Kristian dan kepercayaan masyarakat Rom kuno.

Versi 3

Ia dirayakan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol. St. Valentine merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Dengan jasanya itu, Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim. Bayangkan kalau kita meraikan hari ini, sudah tentu ia menandakan kita sendiri merayakan kejatuhan agama Islam itu.

Hakikatnya, umat Islam perlu sentiasa diingatkan bahawa jangan mudah terikut dengan sesuatu perkara tanpa mengetahui asal usulnya, sejarah dan latar belakang serta terima sewenang-wenangnya tanpa memeriksa unsur kebatilan dan kekufurannya.

Firman Allah yang bermaksud;
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya. (Surah al-Isra’ ayat 36)

Sebagai orang Islam, kita mesti berusaha memelihara diri dan iman dan jangan mudah terkesan dengan perang psikologi dan budaya yang merosakkan ini. Namun sikap terikut-ikut ini pernah disebut dan ditegah oleh Baginda Rasulullah S.A.W dengan sabdanya yang bermaksud: “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.’’

Sumber:
posted by Mujahid Islam (http://www.mujahidinsandakan.blogspot.com/)

No comments: